Tak puas hati, lelaki rempuh gerai dengan jentolak

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini

RAWANG, SELANGOR - Pasangan suami isteri lari lintang-pukang sebaik saja mendengar bunyi rempuhan yang kuat, sebelum dimaklumkan oleh pelanggan bahawa gerai makan mereka dirempuh sebuah jentolak, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian pada jam 12 tengah malam kelmarin di Bandar Country Homes Rawang, pemilik gerai, Nini, 44, berkata, gerai makannya dilanggar dengan jentolak yang dipandu oleh seorang individu yang dikenalinya. 

"Ketika kejadian, saya sedang sibuk mengemas barang-barang kerana mahu menutup gerai, sambil dibantu oleh suami. Masa itu masih ada seorang pelanggan yang sedang minum. 

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi rempuhan yang kuat di bahagian belakang gerai. Akibat terkejut dengan bunyi itu, saya melarikan diri sebelum pelanggan memaklumkan gerai kami dirempuh jentolak yang dipandu seorang lelaki yang juga penghuni di kawasan kejiranan berhampiran," katanya. 


Nini kemudian masuk semula ke gerainya untuk memeriksa keadaan dan mendapati bahagian belakang gerainya rosak teruk akibat rempuhan tersebut. 

"Saya dimaklumkan individu yang melakukan perbuatan itu adalah lelaki berusia 50-an. Sebelum ini dia ada meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan saya membuka gerai makan di kawasan ini sejak lebih setahun lalu," katanya. 



Difahamkan, selepas melakukan perbuatan khianat itu, lelaki terbabit terus menghilangkan diri begitu saja. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Rawang dan berharap masalah itu boleh diselesaikan secara baik tanpa mengancam nyawa mereka. 

Sumber : The Reporter
Powered by Blogger.